Negeri Sembilan & Felda United in Big Trouble

KUALA LUMPUR – Insiden pergaduhan yang melibatkan pemain Negeri Sembilan dan Felda United dalam perlawanan Liga Super, Sabtu lalu mendapat perhatian serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Badan bola sepak itu akan membawa kes tersebut untuk tindakan Jawatankuasa Tatatertib.
Menurut Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, beliau telah mendapat penjelasan mengenai apa yang berlaku daripada pegawai kedua-dua pasukan selepas perlawanan berakhir.
Namun, Hamidin enggan memberi sebarang komen mengenai siapa yang dipanggil atau cara siasatan dijalankan kerana ia di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Mohd Taufik Abd Razak.
”Saya telah mendapat laporan mengenai insiden itu daripada kedua-dua pegawai pasukan pada malam hari perlawanan tetapi laporan rasmi akan dibuat pada esok (hari ini) kerana cuti umum Tahun Baru Cina.
”Selepas itu, laporan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan Datuk Mohd. Taufik Abd Razak untuk diteliti sama ada perlu memanggil saksi daripada kedua-dua pihak persatuan bola sepak.
”Saya tidak mahu memberi sebarang komen berlebihan dalam isu ini, lebih baik kita semua tunggu apa kata Datuk Taufik selaku pengerusi termasuk tarikh pendengaran kes berkenaan, ” katanya yang dihubungi, semalam.
Kekecohan di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu lalu bermula apabila pemain Felda, Hardi Jaafar bergaduh dengan pemain import Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona selepas perlawanan tamat. Setelah dileraikan, Hardi meluru ke tempat duduk penonton tuan rumah yang hampir mencetuskan pergaduhan lebih besar sebelum pengadil mengambil tindakan melayangkan kad merah kepada bekas pemain kebangsaan itu.
Bertambah tegang, ketika penjaga gol Felda, Mohd. Hamsani Ahmad cuba masuk ke bilik persalinan, dia diserang oleh penyokong Negeri Sembilan dan hampir membuatkan bekas penjaga gol Selangor itu naik minyak, namun dapat dileraikan oleh pegawai keselamatan.
Atas insiden tersebut, lebih 1,000 penyokong Negeri Sembilan berkumpul di luar stadium sambil menanti pemain Felda sehingga memaksa pasukan keselamatan mengiringi setiap seorang pemain ke bas.
Sebelum itu, pemain Negeri Sembilan, S. Kunanlan dan Felda, Farid Ramli dilayangkan kad merah kerana terlibat dalam pergaduhan di atas padang.
Hamidin secara peribadi menyatakan kekesalan atas insiden berkenaan dan berharap pemain serta penyokong supaya lebih bijak mengawal emosi masing-masing.
”Perkara ini memang pernah berlaku dalam sukan bola sepak kita tetapi saya tidak mahu ia berterusan terjadi.
”Para pegawai setiap pasukan juga perlu pantas mengawal emosi pemain masing-masing agar perkara buruk dan konfrontasi dengan penyokong dapat dielakkan, ” katanya.

Ex Sarawak U-14 right winger. I stopped playing football because I’d done as much as I could. I needed something which was going to excite me as much as football had excited me.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *