Penyokong jangan keliru

October 22, 2013 0 By admin

FAS tidak memiliki akaun ‘Twitter’ dan ‘Facebook’ selain laman web rasmi

Abdullah Julaihi

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memaklumkan kepada para peminatnya dan penyokong setia pasukan Ngap Sayot bahawa mereka TIDAK memiliki akaun sosial ‘Twitter’ dan ‘Facebook’.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi pihaknya cuma memiliki laman sesawang rasmi WWW.SARAWAKFOOTBALL.COM bagi para peminatnya mengetahui isu-isu semasa mengenai pasukan Sarawak.

“Kami (FAS) ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa apa-apa maklumat yang ingin disampaikan oleh pihak pengurusan FAS secara rasmi adalah melalui laman sesawang tersebut atau melalui siaran media di akhbarakhbar tempatan, nasional atau radio sahaja.

“Selain itu, tidak ada saluran lain diguna pakai oleh persatuan ini untuk menyampai maklumat atau makluman kepada para penyokong dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Menurut Abdullah, kenyataan itu dikeluarkan adalah bagi mengelak sebarang salah faham orang ramai terutamanya penyokong dan peminat setia pasukan Sarawak kerana terdapat banyak akaun Twitter/Facebook atau mana-mana media sosial lain menggunakan nama serupa atau seakan-akan sama dengan persatuan (FAS) bagi mengelirukan orang ramai.

Sarawak memerlukan dua jaringan berharga untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini sekali gus menyingkirkan Pahang.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih Sarawak Robert Alberts juga menyatakan keyakinan bahawa anak-anak buahnya mampu melakukan sesuatu yang terbaik beraksi di laman sendiri.

“Saya yakin semua pemain akan beraksi cemerlang dan mampu melakarkan kejayaan manis untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013,” katanya.

Source: Borneo Post