Piala Malaysia 1999: Sarawak tewaskan Pahang untuk mara ke separuh akhir

October 23, 2013 0 By admin

Jalil Rambli melompat kegembiraan menantikan wisel dibunyikan. Sarawak menewaskan Terengganu 2-0 hasil jaringan Bobby Pian (assist oleh Efendi Sugandi) & Ramles Sari

TIADA siapa menaruh harapan tinggi kepada Abdul Jalil Rambli, ketika mula-mula diumumkan sebagai jurulatih skuad Sarawak.

Beliau lebih diingati sebagai seorang pemain veteran sejak zaman ‘Ngap Sayot’ Awang Mahyan pada penghujung 80-an.

Jalil juga dikenali sebagai pakar membaling bola masuk seumpama bermain bola tampar, yang cukup berbisa dalam menyempurnakan taktik set-pieces di zaman Alan Vest.

Tetapi jurulatih?

Kerana itulah, kebanyakan pemerhati bola sepak tanah air dan para penyokong Bujang Senang mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap gerak langkah Jalil.

Menyedari rumitnya tanggungjawab yang dipikul, Jalil mengambil pendirian sederhana.

Setiap kali ditanya wartawan mengenai sasarannya bagi musim kali ini, beliau hanya menjawab ‘mengekalkan Sarawak di Perdana Satu dan layak ke Piala Malaysia.’

Jalil sebenarnya, mewarisi daripada Alan Vest sebuah pasukan yang sedia kental walaupun dikritik sesetengah pihak sebagai pasukan semakin meningkat usia.

Taktik Vest yang lembap mengetengahkan pemain muda dijadikan batu sempadan oleh Jalil, yang melakukan perubahan drastik menggilap generasi muda negeri itu.

Muncullah pemain seperti Affendi Sugandi, Mohd. Safri Amit, Jeffry Lana yang telah mencipta nama dalam skuad Olimpik 2000, Gilbert Cassidy Gawing dan Johnny Joseph.

Walaupun pembentukan pemain muda sepatutnya dilakukan lebih awal lagi, kehadiran mereka pasti akan menjamin kesinambungan kekuatan Sarawak di dalam saingan Liga Piala Malaysia di alaf akan datang.

Berikutan keberaniannya menampilkan tenaga baru, Jalil menerima isyarat sokongan padu para penyokong yang tenang mengikuti perkembangan pasukan.

Persembahan Bujang Senang dalam kempen Liga Perdana Satu adalah sederhana kerana hanya mencatat empat kemenangan, sembilan seri dan lima kalah untuk menduduki tempat keenam dalam carta liga.

Saingan Sarawak dalam Piala FA juga sederhana apabila hanya sampai ke peringkat suku akhir walaupun cuma tewas tipis 1-0 kepada Kuala Lumpur.

Prestasi yang tidak konsisten menjadi mainan Sarawak dalam saingan Piala Malaysia dengan lima kemenangan, tiga seri dan dua kalah.

Sesetengah pemerhati bola sepak menyifatkan kebangkitan Sarawak ketika menentang Pahang adalah pembuka jalan kepadanya ke peringkat separuh akhir.

Tetapi kesungguhan Sarawak mengekang Terengganu di Kuala Terengganu menafikan kritikan pelbagai pihak bahawa kemasukannya dalam peringkat separuh akhir ‘dibantu’ oleh Brunei.

Keputusan berani Jalil menurunkan pemain muda, Affendi Sugandi membuahkan hasil lumayan apabila pemain itu menjadi jurutera kepada gol pertama pasukan, yang disudahkan oleh Bobby Pian.

Jalil bukan saja mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama Sarawak membawa pasukan ke perlawanan akhir Piala Malaysia, malah menenggelamkan pencapaian Vest dan Awang Mahyan selama ini yang pernah membawa Sarawak ke peringkat suku akhir sebanyak lima kali.