Isu Hutang Pengurusan Lama Oleh FMG, Jejas Proses Dokumentasi Lesen 2018

Oct 7, menerusi petikan daripada Sarawakvoice, Presiden FAS Dato Posa pada sidang media hari ini menjelaskan pihak pengurusan FAS yang sedia ada tidak mengetahui berapa jumlah sebenar hutang tertunggak yang perlu diselesaikan. Ini kerana hutang ini bersangkut paut dengan hutang lama dibawah pengurusan FAS sebelum ini yang diuruskan oleh FMG Sdn Bhd.
Disebabkan tidak memiliki dokumen daripada pengurusan lama, FAS hanya dapat menyediakan laporan kewangan interim yang diminta FMLPP iaitu dari bulan Januari hingga Jun 2017 serta laporan audit (2012-2016).
FAS perlu menghantar dokumen dan menyelesaikan segala hutang tertunggak kepada badan-badan wajib, bagi membolehkan lesennya diperbaharui.
Pada 11 September lepas, sesi perbincangan di antara kedua pihak telah dijalankan di mana FMG bersetuju untuk membayar hutang mereka, manakala FAS menanggung segala hutang atas nama FAS.
FAS juga akan membuat rayuan kepada FMLPP bagi memohon penangguhan notis untuk serahan dokumen pelesenan sebelum 16 Oktober ini untuk menyelesaikan isu yang sedia ada.
Sarawak perlu memastikan segala keperluan dokumentasi untuk pelesenan lengkap jika ingin beraksi di Liga Malaysia musim depan. Kegagalan pematuhan segala syarat pelesenan atau kes tertunggak dengan AFC atau FIFA boleh menyebabkan penyertaaan Sarawak di liga tersebut terjejas.
Senario terburuk mungkin menyaksikan Sarawak boleh dihukum gantung selama tiga tahun serta denda, dan tiada sebarang penyertaan atau pertandingan bolasepak termasuk liga domestik dibenarkan.
Kredit: Sarawakvoice/ Borneo Post

The Writer …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *