Para Penyokong Mahu Kebajikan Pemain Diutamakan

Feb 12, isu dakwaan mengatur perlawanan yang melanda Sarawak ketika ini mendapat reaksi berbeza daripada para penyokong.

Menerusi tinjauan kami, sebahagian penyokong bersetuju dengan siasatan dalaman ini kerana agak sukar untuk menerima hakikat Sarawak bolos tiga gol dalam tempoh enam minit. Sarawak mendahului Felcra FC dengan jaringan 2-0 menerusi jaringan Bobby Gonzales dan Mateo Roskam sehingga ke minit ke 87. Segala-galanya berubah apabila Anselmo menjadi pemusnah dengan tiga gol pada enam minit terakhir perlawanan.

Dalam masa yang sama, sebahagian penyokong melihat kekalahan 2-3 kepada Felcra FC adalah sesuatu yang jelas dan tiada unsur ‘luarbiasa’. Keletihan dan kesilapan taktikal pada saat terakhir perlawanan dilihat sebagai penyumbang utama kepada kekalahan ini.

Tidak kurang juga ada yang berpendapat sisatan dalaman ini seharusnya dibuat secara senyap terlebih dahulu. Sehinggalah ada bukti yang kukuh barulah diumum kepada media sebagai pengajaran kepada para pemain. Situasi ini mengambil kira seseorang tidak dianggap bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah atau dalam istilah Bahasa Inggeris “innocent until proven guilty”. Ini sangat penting untuk mengelakkan pemain yang tidak bersalah turut menjadi tempias kepada isu berat seperti ini.

Namun, majoriti penyokong berpendapat pihak FAS perlu menilai semula tahap kebajikan para pemain terutama dari segi pembayaran gaji. Menurut beberapa sumber tidak rasmi, para pemain dilaporkan lewat menerima gaji bahkan tertunggak untuk beberapa bulan. Situasi tidak sihat ini sebenarnya membuka ruang kepada bookie untuk mencari mangsa jika tidak dibetulkan. Sebagai pemain profesional apa yang kita perlu fahami, bolasepak adalah satu-satunya punca rezeki dan pendapatan kepada mereka, maka adalah wajar untuk kita memastikan pemain mendapat apa yang dijanjikan seperti yang ada di dalam kontrak.

Namun, apapun alasannya perbuatan mengatur perlawanan atau seumpamnya sememangnya adalah kesalahan yang berat dan patut dijauhi.

The Writer …

Leave a Reply