Surat kepada FAS daripada Penyokong Kuaci

KENAPA PERSATUAN BOLA SEPAK SARAWAK (FAS) TERLALU TERBURU-BURU MENGELUARKAN KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU RASUAH PASUKAN SARAWAK?

Saya merujuk kenyataan media FAS bertarikh 11.2.2018 berkenaan isu rasuah yang dikatakan terlibat dalam pasukan bola sepak Sarawak sejurus pasukan tersebut tewas kepada FELCRA F.C. hujung minggu lalu.

Disebabkan tindakan ini, pelbagai persoalan telah timbul di kalangan peminat dan pencinta bola sepak Sarawak. Kenapa FAS terlalu tergesa-gesa dalam mengeluarkan kenyataan tersebut? Adakah siasatan rapi telah dilakukan? Adakah sumber yang kononnya boleh dipercayai itu memberi bukti salah laku tersebut?

  1. Sekiranya bukti tersebut ada diberi, adakah FAS menyiasat kesahihan bukti itu? Adakah pemain atau jurulatih yang kononnya terlibat itu dipanggil terlebih dahulu untuk siasatan? Adakah post-mortem berkenaan dilakukan antara pengurusan, barisan jurulatih dan pemain berkenaan kekalahan tersebut telah dilakukan? Harus diingat, Burden of Proof adalah ke atas yang membuat tuduhan!
  2. Adalah menjadi kebiasaan dalam mana-mana perlawanan bola sepak sesuatu pasukan mampu melakukan come back pada saat akhir perlawanan sekiranya pasukan lawan gagal bermain dengan baik. Juga menjadi sesuatu kebiasaan sesebuah pasukan tewas akibat kegagalan taktikal mereka sendiri. Tindakan terburu-buru FAS ini boleh menjejaskan semangat pasukan dan pemain. Kepercayaan kepada pemain itu sendiri haruslah diletakkan pada tahap tertinggi selagi mana mereka bermain secara professional untuk pasukan.
  3. Adalah tidak adil meletakkan beban kekalahan 100% keatas pemain hanya untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dan disalahkan akibat kekalahan tersebut. Sewajarnya FAS lebih profesional dalam tindakan mereka. Bagaimana pasukan hendak maju kalau pengurusan itu sendiri tidak profesional? Belum lagi habis isu audit FAS yang menyebabkan kegagalan mendapatkan lesen daripada Perkongsian Terhad Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dipersoalkan. Bukannya saya hendak menyokong rasuah (sekira ianya benar berlaku) tetapi Standard of Procedure (SOP) haruslah ada dalam sesuatu organisasi.
  4. Kita ada undang-undang dan prosedur yang boleh diguna pakai. Tindakan seperti FAS ini sebenarnya boleh menghilangkan kepercayaan pengurusan dengan pemain, pemain dengan pengurusan dan yang lebih penting lagi menghilangkan kepercayaan penyokong yang sanggup mengeluarkan Ringgit Malaysia kepada pasukan!
  5. Sebagai salah seorang penyokong yang mengikuti perkembangan Sarawak sejak kecil lagi dan turut berada di stadium menyaksikan perlawanan minggu lepas, adalah jelas banyak perkara yang perlu dilakukan dan diperbaiki oleh pengurusan FAS, barisan jurulatih dan pemain sekiranya mahu bersaing dalam Liga Perdana 2018 dan seterusnya melayakkan diri ke Liga Super musim depan.
  6. FAS haruslah bersikap profesional dan adil dalam pengurusan serta menjaga hubungan dengan barisan jurulatih dan pemain terutamanya hal-hal kebajikan pemain; barisan jurulatih pula haruslah merangka strategi yang paling sesuai untuk pasukan dan pemain-pemain yang dipilih pula berperanan untuk bermain secara profesional dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan pasukan.
  7. Dan, akhirnya kami sebagai penyokong pasukan bola sepak Sarawak akan memainkan peranan kami sebagai penonton dan penyokong dan dalam masa yang sama akan terus menyokong dan mengkritik pasukan demi kebaikan pasukan Sarawak. Kesemua pihak harus telus, jujur dan bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing untuk kebaikan dan meningkatkan kualiti pasukan Sarawak.

Saya yakin, sekiranya kesemua pandangan baik dan kritikan daripada pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong di ambil kira dan disambut dengan hati terbuka dan terus mempertingkatkan prestasi, pasukan Sarawak akan kembali menggegarkan sukan bola sepak Malaysia!

Ngap sayot selamanya!

SAIFUNNIZAM SAM
Penyokong Bola Sepak Sarawak
Yang Tidak Suka Kulit Kuaci/Sampah Dibuang Merata-rata di Stadium

Ex Sarawak U-14 right winger. I stopped playing football because I’d done as much as I could. I needed something which was going to excite me as much as football had excited me.

Leave a Reply