FAS lega penyokong tampil lunaskan denda

KUCHING: Tuah buat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) selepas lima penyokong tegar pasukan itu tampil untuk membantu melangsaikan denda berjumlah RM200,000 yang dikenakan oleh Malaysia Football League (MFL).

Menurut Presidennya, Dato Posa Majais lima individu terbabit yang enggan dikenali itu menyatakan hasrat murni mereka kepada beliau baru-baru ini dalam usaha membantu meringankan beban persatuan berkenaan.

“Bagi pihak FAS, saya merakamkan rasa terharu dan jutaan terima kasih kepada lima penyokong setia Sarawak kerana sudi membantu meringankan beban persatuan dengan melangsaikan denda sebanyak RM200,000.

“Sememangnya pasukan bola sepak Sarawak sentiasa memerlukan sokongan seperti dari penyokong kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.

Menurut Posa, sebelum ini pihaknya telah membuat rayuan kepada Malaysia Football League dan akur dengan keputusan muktamad badan pentadbir bola sepak negara itu.

Tambah beliau, denda itu akan dibayar secara ansuran sebanyak tiga kali. Sarawak antara enam pasukan Liga Premier yang pada asalnya didenda sebanyak RM500,000 oleh MFL sebelum dikurangkan kepada RM200,000 atas kelewatan penghantaran dokumen pendaftaran.

Pasukan lain termasuk Pulau Pinang FA, MISC-MIFA, PDRM FA, UKM FC dan Kuantan FA.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *