Pengalaman admin SSB menyaksikan perlawanan Real Madrid di Estadio Santiago Bernabeu

Pengalaman admin SSB menyaksikan perlawanan Real Madrid di Estadio Santiago Bernabeu

April 3, 2018 0 By admin

Saya nak berkongsi pengalaman dan impian dalam hidup yang telah tercapai iaitu menyaksikan perlawanan bolasepak Real Madrid C.F.menentang Atlético de Madrid di Estadio Santiago Bernabéu, Madrid pada 9 April 2017.

Pasukan Real Madrid dibarisi oleh pemain-pemain bertaraf dunia daripada posisi penjaga gol hingga ke bahagian serangan. Siapa tidak kenal dengan nama Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Luka Modric, Gareth Bale, Toni Kroos, Pepe, Sergio Ramos, Marcelo dan Casemiro.

Jurulatih Real Madrid pula adalah bekas pemain terbaik dunia dan juga lagenda bolasepak Perancis iaitu Zinedine Zidane yang juga pernah menyarung jersi Galaticos sezaman dengan Luis Figo, Raul Gonzalez, Ronaldo Luís Nazário de Lima, David Beckham, Roberto Carlos dan Iker Casillas.

Memori Indah 
===

Jarak perjalanan dari hotel penginapan ke Santiago Bernebeu Cuma 20 minit sahaja. Kami bertolak awal pagi sebab kebetulan hari perlawanan melibatkan seteru ‘derby’ iaitu Real Madrid vs Atletico Madrid yang dijadualkan bermula pada jam 4:45 petang.

Ketika dalam bas, dari jauh jelas kelihatan tersergam stadium yang besar dapat memuatkan lebih 80,000 orang penonton dalam satu masa.

Saya jadi tergamam dan sangat teruja, manakan tidak sebelum ini cuma tengok dalam televisyen. Hari ini stadium itu berada di depan mata!

Welcome to Estadio Santiago Bernabeu

Tour De Bernabeu
===
Staff Tour Bernabeu di kaunter tiket memaklumkan Tour Bernabeu akan tamat lebih awal jam 1:00 petang disebabkan stadium akan mula menerima kedatangan penyokong untuk perlawanan sebelah petang. Kami juga dimaklumkan setiap perlawanan tiket perlawanan akan sold out.

Harga tiket masuk Tour Bernabeu €15 (sekitar RM75). Masa yang di ambil untuk menghabiskan Tour ni dalam 1 jam 30 minit (kalau kurang ambil gambar).

Untuk persinggahan pertama, semua orang mesti menaiki tangga hingga sampai di bahagian atas sekali. Di sini kami dapat melihat keseluruhan pemandangan stadium dari view paling atas dengan rumput yang menghijau di bawahnya.

Tingkat paling atas di Stadium Bernabeu. Boleh tahan gayat.

Kami boleh nampak persiapan stadium dan juga media untuk perlawanan sebelah petang nanti.

Dalam Megastore menjual jersi Real Madrid dengan harga €120 (sekitar RM600), mahal kan? Sampai KLIA2 saya beli dari Al-Ikhsan lebih murah.

Saya turut ambil kesempatan sign up sebagai Madridista Fan €15 (setahun), dan juga beli beberapa aksesori untuk dibawa pulang.

Perlawanan Real Madrid vs Atletico Marid
===

Tiket perlawanan berharga €205 (sekitar RM1,100) bersebelahan dengan zon utama (grandstand). Pembelian tiket perlawanan melalui online dan yang menariknya harga tiket isteri saya yang duduk bersebelahan tidak sama. (Rupanya seperti konsep tiket kapal terbang Air Asia).

Pemeriksaan keselamatan semasa masuk ke stadium sangat ketat, dan kita mesti berhati-hati dengan sindiket ‘pick-pocket’ profesional.

Kami dinasihatkan oleh orang tempatan agar meminimakan bawa beg atau pegang banyak barang untuk elak jadi sasaran sindiket tersebut.

Suasana di stadium begitu meriah dengan laungan dari Ultra Sur (kelompok penyokong Ultra Real Madrid yang ditubuhkan sejak tahun 1980)!

Tamat Perlawanan berkesudahan dengan seri 1-1. Jaringan Real Madrid dihasilkan oleh Pepe dan kemudiannya Antoine Griezmann menyamakan kedudukan.

Akhirnya, impian nak tengok Ronaldo main depan mata dah dapat. Tapi yang peliknya, pemain yang paling mencuri perhatian saya ketika beraksi di padang adalah Luka Modrić. Pemain spesis seperti beliau memang belum wujud lagi di Malaysia. Ketepatan hantaran pendek dan panjang, bola tak lekat lebih 5 saat di kaki – memang kali pertama saya lihat pemain seperti ini.

Oklah, menaip dah panjang sangat. Nanti kena tegur Khairul Hakimin Muhammad dan Pengiran M. Nizam Rahman. Hahaha.

Impian itu percuma, tidak salah pasang banyak impian. Dengan impian, kita dapat memotivasikan diri untuk berusaha lebih dan bersungguh-sungguh!

Real Madrid dah dalam tangan, seterusnya saya nak tonton perlawanan akhir Piala Dunia.

– Hafizul Hakim –