Jangan pandang rendah kemampuan pasukan lawan

Jangan pandang rendah kemampuan pasukan lawan

April 11, 2018 0 By Zubizaretta

Begitu ungkapan ketua jurulatih Sarawak, Ian Gillan apabila diajukan soalan kenapa pasukannya terpaksa bergelut sepanjang perlawanan sebelum berjaya menumpaskan Misc-Mifa tempoh hari.

 

Ternyata walaupun mencapai kemenangan, masih ada cakap-cakap yang kurang berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya yang dilihat masih bertungkus lumus untuk mencapai prestasi sebenar.

 

Bagi Ian, pasukan Misc-Mifa merupakan sebuah pasukan yang hebat dan diperkuatkan oleh bekas pemain kebangsaan serta pemain import yang berkualiti namun katanya, ramai menganggap pasukan Misc-Mifa merupakan pasukan yang biasa yang akhirnya menjurus kepada tanggapan ramai pasukan itu mudah untuk ditewaskan dan akhirnya mereka mengambil mudah cabaran pasukan tersebut.

 

Walaupun begitu, Ian nyata gembira dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang bekerja keras sepanjang perlawanan serta berjaya mempertahankan kedudukan. ‘Saya cukup berpuas hati dengan komitmen para pemain dan saya tahu mereka bekerja keras bukan sahaja dalam perlawanan, malah ketika dalam latihan, mereka memberi komitmen 100%,’ ujar Ian.

 

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Dato Posa Majais mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pasukan di bawah naungan FAS iaitu pasukan Piala Belia, Piala Presiden dan juga pasukan Liga Premier kerana berjaya memenangi perlawanan masing-masing. Beliau seterusnya berharap yang momentum kemenangan dapat dikekalkan untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang.

 

Artikel: SSB