ISU KEHILANGAN WANG RM 91 JUTA FAS, AMK SARAWAK TUNTUT SIASATAN SEGERA!

ISU KEHILANGAN WANG RM 91 JUTA FAS, AMK SARAWAK TUNTUT SIASATAN SEGERA!

June 13, 2018 0 By admin

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) SARAWAK
12 JUN 2018

ISU KEHILANGAN WANG RM 91 JUTA FAS, AMK SARAWAK TUNTUT SIASATAN SEGERA!

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak merujuk kepada laporan akhbar tempatan The Borneo Post Online bertarikh 11.6.2018 berkenaan kenyataan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Dato Posa Majais yang mempersoalkan tentang kehilangan wang RM 91 juta daripada dana Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Berdasarkan kenyataan media tersebut, dilaporkan bahawa rekod pembayaran jumlah tersebut telah dilakukan atas nama FAS sejak tahun 2015-2016. Dalam laporan akhbar tersebut juga ada menyatakan bahawa Presiden FAS mempunyai bukti tentang salahlaku tersebut. Oleh yang demikian, AMK menuntut Presiden FAS membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kadar segera untuk membolehkan SPRM melakukan siasatan ke atas dakwaan tersebut.

AMK memandang serius perkara ini dan berharap agar pihak yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan sekiranya perkara ini benar-benar berlaku. AMK juga mengambil maklum sejak beberapa tahun ini, terdapat senarai panjang pemain-pemain import Sarawak, baiknya import luar atau tempatan yang ditukar bersilih ganti ketika musim liga berlangsung dan ini semestinya menyebabkan FAS terpaksa menanggung rugi untuk pembayaran pampasan kepada mana-mana pemain yang ditamatkan awal kontrak perjanjian mereka.

Oleh yang demikian, siasatan yang dilakukan juga haruslah secara menyeluruh termasuklah pemilihan, pengambilan dan penamatan kontrak pemain, pembayaran gaji, pembayaran untuk menyusun jadual perlawanan dan apa-apa jua perkara lain yang termasuk dalam pengurusan dan penggunaan dana persatuan.

AMK berpendirian wang dana FAS adalah tanggungjawab besar persatuan untuk memastikan kemajuan dan pembangunan pasukan bola sepak Sarawak bagi bersaing dalam Liga Bola Sepak. Sekiranya dana tersebut tidak diurus dengan tanggungjawab ini akan membantutkan perkembangan bola sepak Sarawak dan memberi kesan buruk kepada generasi muda Sarawak yang berpotensi untuk diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi. Kepercayaan peminat bolasepak tempatan akan turut terjejas sekiranya isu ini tidak dibendung segera.

Sekali lagi, AMK dengan tegas menuntut agar siasatan segera dilakukan terhadap FAS untuk memastikan kebajikan pemain, pembangunan bola sepak Sarawak yang bergantung dengan dana persatuan tersebut dijaga dengan baik. AMK yakin sekiranya urus tadbir FAS dijalankan dengan amanah dan bertanggungjawab, pasukan Sarawak kita pasti akan dapat merasai kembali zaman kegemilangan bola sepak Sarawak!

NGAP SAYOT SELAMANYA!

SAIFUNNIZAM SAM
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sarawak

Sumber: FB Saifunnizam Sam